Sumber Primer dan Sumber Sekunder
Disediakan
oleh: Lim Wei En
Sumber
maklumat dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu sumber primer dan sumber
sekunder. Terdapat dua kategori pula
dalam sumber primer, iaitu sumber primer yang diterbitkan serta sumber primer
yang tidak diterbitkan.
Menurut
Syed Ismail (2010), sumber primer merupakan penemuan baru, penyelidikan asli,
boleh diterbitkan atau tidak boleh diterbitkan, dan maklumat asal. Sumber primer turut dikenali sebagai sumber
pertama dan merupakan bahan maklumat yang belum diolah atau dicetak. Dalam konteks pengajian Islam pula, sumber
primer pula membawa maksud sumber yang dipetik daripada sumber asal. Misalnya, hadis dirujuk dari kitab hadis
seperti Sahih al- Bukhari, dan Sahih Muslim.
Sumber primer juga boleh
difahamkan sebagai bahan yang masih berada dalam keadaan asal dan belum
ditafsirkan. Sebagai contoh, kertas,
fosil, manuskrip yang belum dicetak, surat rasmi kerajaan, batu bersurat, dan
keterangan lisan merupakan bahan-bahan yang bersifat asli dan boleh dikenali
sebagai sumber primer.
Selain itu, sumber primer
turut dirujuk sebagai penemuan ilmu pengetahuan baru, laporan penyelidikan yang
bersifat asli, serta ulasan atau tafsiran baharu yang diberi. Biasanya, sumber ini susah untuk didapati
atau dikenal pasti kerana sumber ini tidak disenaraikan dengan sempurna dan
juga berada di merata-rata tempat. Para
penyelidik hanya dapat mencapai sumber pertama dengan usaha yang berterusan
untuk mengemaskan maklumat yang diperolehi dari berbagai-bagai tempat.
Sumber primer juga merupakan
maklumat yang diperoleh oleh penyelidik tersebut sendiri melalui pelbagai
kegiatan seperti temu bual, pemerhatian, analisis dokumen dan soal
selidik. Cara-cara untuk mendapatkan
sumber primer juga harus dititikberatkan dan tidak boleh dilakukan secara
sewenang-wenangnya. Tamsilnya, individu
yang disoal selidik atau ditemu bual haruslah merupakan responden yang mengalami
peristiwa tersebut. Dengan ini, individu
tersebut dapat bercerita tentang situasi dan keadaan tersebut yang dialaminya
sendiri dan bukannya berdasarkan kepada pengalaman orang lain. Di samping itu, hasil soal selidik yang
diperolehi juga dapat dikenali sebagai sumber primer kerana penyelidik telah menyoal
secara terus kepada responden kajian tentang pandangan mereka terhadap sesuatu
perkara.
Dua kategori yang dirangkumi
dalam sumber primer dapat dibahagikan melalui penerbitan. Antara contoh sumber primer yang diterbitkan termasuklah
terbitan berkala, terbitan bersiri atau jurnal, laporan penyelidikan,
penerbitan rasmi, paten, piawaian, tesis serta prosiding konferen. Manakala bahan-bahan sumber primer yang tidak
diterbitkan termasuklah kertas kerja, fail syarikat, fail peribadi,
surat-menyurat, diari, memo, temu ramah, lukisan, dan rakaman audio serta
video.
Sumber sekunder pula dikenali
juga sebagai sumber kedua. Sumber
tersebut terdiri daripada bahan serta dokumen yang dikaji dalam bahan bertulis
yang lain. Antara bahan bertulis yang
dinyatakan termasuklah majalah, jurnal, ensiklopedia, akhbar, risalah, laporan
tahunan jabatan serta blog. Sumber kedua
juga bermaksud sumber maklumat yang diperoleh selepas tafsiran, penilaian,
ringkasan, analisis, rumusan serta penyusunan semula secara sistematik daripada
maklumat asal ataupun sumber primer yang telah didapati. Dengan ini, jelaslah bahawa maklumat dalam
sumber sekunder bukan merupakan ilmu pengetahuan yang baharu.
Sebagai contoh, tafsiran semula
daripada hasil dapatan temu bual boleh dikategorikan sebagai sumber
sekunder. Hal ini demikian kerana
pendapat responden yang ditemu bual telah dirumus dan dianalisis semula oleh
penyelidik. Penyelidik turut telah
membentangkan idea responden tersebut dalam bentuk yang berbeza daripada
perkataan-perkataan asal individu tersebut.
Tambahan pula, sumber
sekunder juga merujuk kepada bahan-bahan yang telah diolah, dicetak lalu
disebarkan kepada orang ramai. Misalnya,
buku teks, buku panduan, jadual, ulasan, monograf, terbitan berkala,
perkhidmatan indeks dan abstrak, serta formula merupakan contoh sumber
sekunder.
No comments:
Post a Comment